• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

HFMD Di Terengganu Terkawal

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Terengganu  masih terkawal walaupun ia menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda bagi tempoh 1 Januari hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, setakat 17 Mei lalu, 1,182 kes dilaporkan berbanding hanya 103 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada keperluan menutup taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) negeri ini walaupun berlaku peningkatan kes.

“Arahan penutupan taska dan tadika akan dilakukan sekiranya berlaku penularan yang teruk.

"Kita akan melihat situasi mengikut keadaan di satu-satu taska. Kalau kata taska itu memang ada penularan yang teruk, kita akan buat arahan tutup.

"Tetapi setakat ini, di Terengganu, kita kekal dengan 19 taska yang terbabit dan kesemuanya beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor di Dataran Batu Burok, hari ini.

Menurut Dr Kasemani, jangkitan HFMD di kalangan bayi dan kanak-kanak negeri ini tidak serius dan tiada pesakit yang dimasukkan ke wad setakat ini dengan kesemuanya hanya dirawat sebagai pesakit luar.