• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

“Hidayah Itu Dicari, Bukan Sekadar Dinanti”

BESUT, 19 Ogos - Forum Perdana Ehwal Islam bersiaran secara langsung di Kota Putera Square dengan tajuk 'Andai Hidayah Dapat Kubeli' semalam. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Mohd Fauzi Mustaffa berkata, hidayah atau petunjuk menjadi satu kurniaan yang amat berharga daripada Allah. 

"Kita harus semat dalam jiwa bahawa hidayah itu perlu dicari, bukan pula kita sekadar menanti untuk diberi hidayah. 

"Sekiranya kita lapar, kita perlu mencari makanan. Jika kita dahaga, kita mesti mencari air. Begitu juga hidayah yang perlu kita usahakan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel bicara itu bersama Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, Dato' Badli Shah Alauddin dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman. 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli menghadiri program bual bicara agama itu di Kota Putera Square, Besut di sini semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Baginda. 

Turut mengiringi keberangkatan Baginda iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menyambut keberangkatan Baginda ke program tersebut. 


Tag: