• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hidrokuasa Kecil Sungai La Rintis Pembangunan Lestari

KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Pembinaan Hidrokuasa Kecil Sungai La, Hulu Besut bakal menjadi projek rintis dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di negeri ini. 

Projek kerjasama antara anak syarikat negeri (GLC), MBI Modal Sdn Bhd bersama Heitech Padu Berhad dan Inter Global Hydro Sdn Bhd bawah syarikat Domainedge Sdn Bhd berjumlah RM25 juta bakal memberi manfaat hampir 1,400 unit rumah. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan tersebut selari dengan salah satu teras strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030).

“Projek Hidrokuasa ini dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan jejak karbon terutama dalam aspek ‘renewable energy’. 

“Projek ini akan dilihat sebagai salah satu penyelesaian keperluan di negeri Terengganu terutama dalam berdepan cabaran membekalkan elektrik di kawasan luar bandar ke kawasan terpencil. 

“Manfaat melalui usahasama ini sejajar dengan matlamat jangka panjang kerajaan iaitu PITAS2030 melalui Teras Strategik ke-9,” katanya dalam Majlis Kick-off Projek Usahasama Pembangunan Hidrokuasa Kecil di Sungai La, Besut di Hotel Majestic, di sini pagi semalam.

Sementara itu, Pengerusi Domainedge Sdn Bhd, Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata pembinaan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan. 

“Anggaran hasil daripada hidrokuasa ini adalah sekitar 2.5 Megawatt kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), bermakna sekitar kawasan itu TNB tidak perlu salur bekalan elektrik daripada luar. 

“Selepas projek ini selesai, kita (Domainedge Sdn Bhd) akan ‘operate’ selama 21 tahun , jadi dalam tempoh itu bekalan elektrik akan disalurkan kepada TNB,” tambahnya.


Tag: