• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hilang Penat Lihat Mangsa Banjir Kembali Senyum

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Rasa penat membersihkan rumah bersalut lumpur hilang sekelip mata selepas melihat mangsa musibah banjir kembali senyum, demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu.

Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, lebih 100 rumah berjaya dibersihkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Terengganu sempena Misi Bantuan Banjir Di Pahang sepanjang tiga hari berakhir.

Jelasnya, misi yang berakhir 25 Disember itu menumpukan rumah kediaman, pusat tahfiz, madrasah, surau dan kedai di Kuantan, Paya Besar, Temerloh serta Sungai Lembing.

“Mereka yang kebanyakannya golongan belia bertungkus lumus membersihkan lumpur, membasuh pekakas dapur, memasak, mengagihkan makanan dan menghulurkan sumbangan kelengkapan dapur sepanjang tiga hari misi bantuan.

“Tiada erti penat bagi kami, yang penting mahu melihat tuan rumah tersenyum dan tiada lagi riak sedih di wajah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Menurut Wan Sukairi, kebanyakan mangsa berkali-kali mengucapkan ribuan terima kasih tanda gembira kerana ada yang sudi membantu walaupun berlainan negeri.

“Majoriti rumah dinaiki air pada paras dada dan ada rumah pula hanya nampak bumbung.

“Hampir keseluruhan barangan rumah, pekakas elektrik termasuk kereta dan motosikal rosak susulan hujan lebat dan banjir pada 17 Disember,” katanya.

Wan Sukairi turut memberitahu pada misi bantuan sama, pihaknya juga menghulurkan sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Pahang untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Pihak kami turut bertuah kerana menerima sumbangan daripada Pasar Raya Sabasun yang menghantar dua lori barangan kelengkapan dapur, termasuk beras, minyak, gula, bihun dan sardin ke lokasi sama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, lebih 600 sukarelawan agensi-agensi kerajaan di Terengganu bersama empat buah bas, kenderaan pancuan empat roda dan kenderaan persendirian akan bertolak ke Temerloh, Pahang, kira-kira jam 8.00 pagi esok.

 


Tag: