• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Himpunan Perantau Eratkan Kerajaan Dengan Rakyat

JITRA, 4 Jun – Himpunan perantau yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu di setiap negeri dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama anak-anak Terengganu yang berada di perantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, matlamat utama majlis perantau diadakan adalah untuk mengenali dan menjalinkan hubungan yang baik dengan para perantauan.

Katanya, di samping kerajaan negeri ingin mendengar pandangan daripada anak-anak perantau sendiri terhadap kepimpinan negeri Terengganu.

“Kami juga akan menerangkan pencapaian dan kejayaan yang berjaya diraih oleh kerajaan negeri kepada golongan perantau supaya mereka tidak ketinggalan mengetahui isu semasa terkini.

“Terutamanya pencapaian kerajaan negeri yang berjaya menunaikan keseluruhan 20 manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog dalam Program Jelajah Pimpinan Bertemu Anak Terengganu di Perantauan bertempat di Kolej Heights Utara Café, Kedah di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Tambah Wan Sukairi, kejayaan itu sekali gus menunjukkan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) sentiasa komited dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

"Pada majlis yang diadakan di Dewan Kolej Utara Café itu turut berlangsung majlis jamuan hari raya serta cabutan bertuah kepada perantau yang hadir.

"Program itu berakhir pada jam 5 petang dengan kehadiran peserta melebihi 200 orang," ujarnya.

 

 

 


Tag: