• 23 Jan 2021 | 9 Jamadil Akhir 1442

Hobi Bernilai Ribuan Ringgit Jadi Taruhan

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Bagi sesetengah orang, mainan mungkin menjadi simbol kebudak-budakan, tetapi bagi pengumpul mainan pula, ia adalah harta karun yang mempunyai nilai estetika, kreativiti dan harga yang tiada tandingan.

Kini, permainan figura aksi bukan sahaja menjadi rebutan peminat cilik bahkan juga menjadi kegilaan pengumpul di kalangan orang dewasa dan bekerjaya.

Hardi Syafiq Maula Ali, 33, merupakan salah seorang peminat yang obses dengan koleksi ini dan kini mempunyai lebih dari 2,000 figura super hero di rumahnya. 

Antara figura aksi yang memenuhi koleksi beliau adalah Ironman, Scoobydoo, Hellboy, Ninja Turtles, Dragonball, One Piece,Hulk, Pitt, Akira, Hulkbuter, King Sharp, King Sharp Jack Hammer, Women Hulk, Captan America, Antman, Spiderman, Venom, Thanos Team Black Older, Jurasic Park, Tamiya Kit dan Tamiya Dash.

Selain itu, beliau juga turut mengumpul Bandai, Tamiya, Hasbro, Bampesto, Takara Tommy, Ixo, Yoshimura dan  Minichamps.

Ayah kepada dua anak yang berusia 5 hingga 11 tahun berkata minat mengumpul figura aksi bermula sejak tahun 2007 setelah bekerja sebagai  Tukang Kimpal Minyak dan Gas (Welder) dan mempunyai pendapatan sendiri.

“Bila mula kerja , ada duit sendiri baru saya beli sebab dulu masa kecil-kecil, nak beli permainan pun fikir banyak kali. Bukan apa, kita ni tak naklah jadi anak yang suka minta mak ayah untuk memenuhi permintaan kita , orang susahkan. Lainlah orang tu, hari-hari boleh dapat mainan masa kecil-kecil dahulu. Jadi apabila sudah besar, sudah bekerja dan ada duit sendiri, inilah masanya untuk kita repeat balik hajat yang tertangguh zaman kanak-kanak.

“Lagipun bagi saya, ia bukan satu bentuk pembaziran sebab kita berbelanja terhadap sesuatu barang yang mempunyai nilai yang tinggi pada masa akan datang. Contohnya koleksi Transformer G1, saya pernah ditawarkan sehingga RM9,000 untuk dijual,”katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Hardi berkata koleksi kesayangannya adalah figura Cybercorp tahun 1988 dari seorang rakan di Jepun bernilai hampir RM8,000 yang mengambil masa tiga tahun untuk melengkapkan koleksi berkenaan.

Katanya, kesemua koleksi berkenaan datang dari luar negara seperti Jepun, United State, Singapura, Mexico termasuk dalam negara sendiri.

“Saya suka merantau secara solo (backpacker) ke seluruh negeri untuk mencari koleksi yang saya perlukan kerana lebih memberi kepuasan.

“Selain itu, saya juga dapatkan stok daripada persatuan koleksi figura aksi yang terdapat di negara kita dan menyertai pameran-pameran yang dianjurkan,” tambah Hardi yang turut mendapat sokongan dari isteri, Nor Fatma Ismail, 33.

Katanya setakat ini semua koleksi berkenaan ditempatkan di dalam almari kaca di sebuah bilik kediaman keluarga di Bukit Besar.

“Dalam sehari, saya boleh habiskan masa dua jam bersama koleksi kesayangan dan bersyukur setakat ini, kelurga termasuk isteri dan anak-anak menyokong penuh hobi ‘rare’ ini.

“Jika ada rezeki saya berhasrat untuk membuka sebuah kafe retro dan tempat pameran mainan, di mana bukan sahaja orang ramai boleh datang minum dan menjamu selera, malah saya dapat menempatkan koleksi mainan untuk dipamerkan kepada pengunjung.


Tag: