Berita :
Jabatan Pendidikan Islam Terengganu Larang Staf Ikut Trend Berjoget
Jabatan Pendidikan Islam Terengganu Larang Staf Ikut Trend Berjoget
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) mengingatkan seluruh warganya supaya tidak terlibat dengan trend berjoget atau menari yang boleh dianggap melampaui batas sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Peringatan tersebut dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu bagi memastikan setiap kakitangan terus menjaga adab, tingkah laku serta imej sebagai warga pendidik.

Menurut kenyataan berkenaan, warga JPINT tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang perlakuan yang tidak sopan atau keterlaluan seperti berjoget, menari atau apa-apa tingkah laku lain yang boleh ditafsirkan melampaui batas agama serta adat kesopanan sebagai seorang Melayu.

"Kakitangan jabatan juga diingatkan supaya tidak merakam, menyebarkan atau menularkan sebarang perlakuan sedemikian di media sosial termasuk TikTok atau mana-mana platform lain yang boleh menjejaskan imej jabatan," jelas kenyataan itu. 

Trend berjoget di media sosial ketika ini dilihat hangat diperkatakan dalam kalangan netizen, lebih-lebih lagi apabila terdapat segelintir warga pendidik yang turut terlibat sehingga menimbulkan perdebatan dalam masyarakat.

Keadaan tersebut sekali gus dianggap boleh menjatuhkan imej seorang pendidik yang seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dan para pelajar.

Sehubungan itu, JPINT menegaskan seluruh warga JPINT perlu sentiasa menjaga adab, tingkah laku serta mempamerkan akhlak yang baik selaras dengan nilai dan imej jabatan sebagai institusi yang membawa peranan pendidikan Islam di negeri Terengganu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan