• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hobi Memburu Bertukar Tragedi

DUNGUN,7 Oktober - Mohd Suhaimi Damuri tidak menyangka hobinya memburu di hutan bertukar menjadi tragedi apabila ditembak rakan sendiri yang menyangkakan dirinya kijang dalam kejadian seminggu lalu di Hutan Besul.

Katanya, akibat peristiwa itu dia telah dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi menerima rawatan.

"Kejadian itu disedari ketika sedang memasang jerat, saya terdengar bunyi tembakan yang sangat hampir dan tiba-tiba saya merasa sakit di badan.

"Kejadian itu berlaku pada 25 September yang lalu, seminggu juga saya menerima rawatan di hospital dan mendapat kecederaan di bahagian pinggul dan serpihan peluru terkena di bahagian tulang belakang.

"Kini terpaksa kerap juga ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan," ujarnya.

Mohd Suhaimi berkata demikian ketika diziarahi  Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya semalam.

Ghazali berharap Suhaimi akan segera pulih bagi meneruskan kehidupannya seperti biasa dan bersimpati diatas nasib yang menimpa dirinya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata kejadian tertembak rakan itu telah membawa kepada penahan dua lelaki bagi membantu kes siasatan.

"Kedua-dua suspek penduduk tempatan. Suspek pertama mengaku dia dipanggil suspek kedua ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera ketika memburu dalam Hutan Simpan Besul. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa suspek mengaku masuk ke hutan berkenaan adalah untuk memburu kijang di kawasan hutan terbabit tanpa mempunyai niat bagi menembak mangsa, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.


Tag: