• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Hobi Tanam Keladi, Jana Pendapatan Ribuan Ringgit

KUALA TERENGGANU, 23 November - Hobi menanam keladi di halaman rumah kini menjadi sumber pendapatan buat seorang suri rumah di Kampung Tok Kahat, Banggol Katong, di sini.

Azita Mohamad, 47, menjana pendapatan tambahan sekitar RM1,500 sebulan hasil menjual lebih 100 spesies anak keladi eksotik ditanam di halaman rumahnya sejak empat tahun lalu.

"Saya bermula dengan keladi liar berharga RM20 sepokok dan kini memiliki keladi jenis Mojito berharga RM2,500 sepokok selain spesies black coral, monsawang, chiken, jazz, cat tumpah, albino, karipat dan ramlah pink.

"Permintaan keladi eksotik itu semakin meningkat berikutan ramai meminatinya sekarang.

"Peminatnya bukan wanita sahaja, malah lelaki yang menjadikan aktiviti menanam keladi itu sebagai hobi," katanya.

Menurutnya, keladi eksotik pertama dibelinya dari Thailand empat tahun lalu ialah spesies wing chin berharga RM18 sepokok.

Katanya, pada hari ini, keladi spesies sama dijual pada harga RM350 sepokok kerana spesies itu sukar diperoleh dan diminati ramai.

"Hasil daripada modal RM18 itu, saya mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda dengan menjual anak pokok spesies keladi wing chin itu.

"Harga keladi itu bukan sesuka hati ditetapkan, tetapi mengikut harga pasaran semasa bergantung kepada permintaan," katanya.

Menurutnya, jualan anak keladi semakin meningkat dari semasa ke semasa dan paling laris ialah spesies mickey mouse dan miduri soul yang berharga RM1,500 sepokok dan anak pokok dijual pada harga RM70 sepokok

 


Tag: