• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hospital Dungun Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan

KUALA TERENGGANU. 24 Ogos – Kerajaan negeri berharap perkhidmatan perubatan di Terengganu bertambah baik apabila Hospital Dungun yang bakal menjadi hospital pakar ketiga selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman beroperasi kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dengan adanya hospital pakar yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, rakyat Terengganu tidak perlu lagi mendapatkan rawatan pakar di luar, sekaligus mengurangkan kesesakan di HSNZ dan Hospital Kemaman.

"Orang ramai tidak perlu lagi menunggu untuk mendapatkan rawatan sebagaimana biasa dari segi masa termasuk jarak perjalanan lebih singkat.

“Hospital yang kini dalam fasa persiapan akhir pembinaannya juga akan menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar kawasan Daerah Dungun.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI ) ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya,  kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik melalui Tabung Darul Iman.

Hospital Dungun yang dibina di atas tapak seluas 6.13 hektar pada 2016 itu sepatutnya siap pada 2019 namun tertangguh disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan reka bentuk bagi menepati spesifikasi Kementerian Kesihatan.

Bangunan itu mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi membabitkan kos RM125 juta.


Tag: