• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hospital Pengajar UniSZA Dibuka Kepada Orang Awam Tahun Depan

KUALA NERUS, 3 Ogos- Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA), dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada awal tahun depan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, pembukaan hospital yang dibangunkan dengan kos RM281 juta akan membantu mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut beliau, HPUniSZA yang dilengkapi 16 bilik bedah dan 10 bilik bersalin juga menyasar untuk beroperasi secara patuh syariah.

"Sebagai permulaan, HPUniSZA baru sahaja memulakan operasi secara dalaman dengan klinik untuk pembukaan perubatan am kakitangan dan pelajar UniSZA pada Isnin lepas
(1 Ogos).

“Melalui percubaan pembukaan ini, pengurusan HPUniSZA dapat meneliti keberkesanan pergerakan pesakit dalam proses mendapatkan rawatan, selain menilai dan menambahbaik perkhidmatan berkualiti sebelum ia dibuka kepada umum nanti,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Fadzli berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukkan 100 katil tambahan bagi melengkapkan fasiliti HPUniSZA supaya hospital tersebut dapat memberi perkhidmatan kepada umum sebagaimana dijadualkan.

Tambah beliau lagi, HPUniSZA bakal menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik apabila dibuka kelak termasuk rawatan pakar kepada pesakit jantung hasil kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) melalui pembukaan Klinik IJN.

“Harapan kita, pembukaan hospital yang dilengkapi peralatan canggih, berkonsepkan mesra ibadah dan menyediakan rawatan serta persekitaran Islamik secara holistik ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu,” katanya.