• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Hotel di Tasik Kenyir Beroperasi Awal 2023

HULU TERENGGANU, 30 Julai – Hotel milik kerajaan negeri di Tasik Kenyir yang terbengkalai lama selepas dibina pada 2015 dijangka akan disiapkan dan beroperasi pada suku pertama tahun 2023.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun menyatakan komitmen pihaknya bagi memastikan projek tersebut tidak terus terbengkalai.

“Sepatutnya hotel 150 bilik itu sudah lama siap, namun masih ada beberapa bahagian yang perlu dibaikpulih terutamanya bahagian dewan.

“Saya kira dalam 10 peratus sahaja lagi yang perlu disiapkan, dari segi barang dalaman bilik sudah siap. Kita harap dalam suku pertama 2023 boleh siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tasik Kenyir Jet Ski Championship Challenge 2022 bersempena Terengganu Inc Challenge Series (TICS) yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Poh, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Selain hotel lapan tingkat tersebut, kerajaan negeri melalui Terengganu Inc dalam usaha membina dan membaiki beberapa lagi fasiliti seperti Taman Tema Kenyir (KWP) berkapasiti lebih besar yang mampu digunakan dengan selamat serta mesra alam.

Untuk rekod, operasi KWP dihentikan sejak 27 Mei 2017 atas alasan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dijalankan.

Ia susulan laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri I menyatakan bahawa KWP yang beroperasi sejak 31 Mei 2015 tanpa memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Malah, ia dibina di Pulau Poh meliputi keluasan 4.3 ekar tanpa menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang hanya baharu dipersetujui untuk disediakan melalui mesyuarat pada 30 November 2016.

Terdahulu kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan Pulau Poh kepada Terengganu Inc bagi memajukan destinasi pelancongan negeri itu.

 


Tag: