• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hotel Paya Bunga Dinobat 'Best City Hotel'

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Hotel Paya Bunga yang merupakan milik kerajaan Terengganu berjaya memenangi anugerah 'Best City Hotel' mengatasi 4,000 penyertaan di Waldoft Astroria Palm Jumeirah, Dubai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 4,000 penyertaan itu terdiri daripada 70 negara yang mengambil bahagian dalam International Travel Award.

Katanya, hotel yang dahulunya mempunyai pelbagai masalah dari sudut kerugian dan tidak dapat beroperasi kerana kerosakan teruk kini menjadi tumpuan dunia.

"Setelah kerajaan negeri mengambil alih pada tahun 2018, pelbagai kejayaan diperolehi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas pelbagai perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan.

“Hotel ini juga telah diperkenalkan dengan konsep patuh syariah pada awal pembukaannya dan pernah menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) pada tahun 2022,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh negeri Terengganu.

Beliau melahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Hotel Paya Bunga yang berjaya membawa kegemilangan tersebut.

“Semoga terus cemerlang dalam menggapai pelbagai anugerah sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.

 

 


Tag: