• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Hotel Paya Bunga Rangkul Dua Emas Kejohanan 'Chef' Dunia

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Hotel Paya Bunga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Chef Dunia [World Chefs Championship (WCC)] Malaysia 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, baru-baru ini. 

Mohd Fadzil Ismail yang merupakan Chef Eksekutif Hotel Paya Bunga merangkul pingat emas dalam acara ‘Fruit & Vegetable Carving’ dan pingat perak dalam acara ‘Fruit Curving Individual’.

Manakala Kapten Jabatan Food & Beverage (F&B) Hotel Paya Bunga, Zulhilmi Hadi Zulkurnain telah merangkul pingat emas dalam acara ’Latte Art’.

”Alhamdulillah, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan bersama dengan rakan-rakan serta keluarga yang banyak memberikan sokongan dan dorongan.

”Saingan dalam pertandingan ini sangat sengit dengan peserta-peserta dari Taiwan, China dan lain-lain yang kebanyakkannya membuat persiapan lebih awal untuk pertandingan ini.

”Saya rasa terharu dengan pencapaian ini kerana dapat menaikkan nama Malaysia dan khususnya Hotel Paya Bunga itu sendiri,” kata Chef Mohd Fadzil ketika ditemui pemberita.

Tambah beliau lagi, pencapaian ini juga akan memberikan galakan kepada kakitangan hotel yang lain untuk menyertai kejohanan seperti ini pada masa akan datang.

Manakala, Zulhilmi Hadi pula berasa terkejut dengan kejayaan yang diperoleh kerana beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut.

”Ini merupakan kejohanan pertama yang saya sertai dan saya tidak meletakkan apa-apa harapan pada awalnya cuma fokus untuk memberikan yang terbaik.

”Hampir sebulan saya berlatih untuk mencari ’skill’ yang lebih sempurna.

”Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya terkejut dan rasa bersyukur kerana segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil,” kata Zulhilmi. 

Tambah beliau, sokongan yang berterusan daripada isteri, keluarga dan rakan-rakan sekerja juga telah memberikan motivasi kepadanya untuk terus berusaha. 

Seramai 1,498 chef dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam World Chefs Championship Malaysia 2023 dengan 19 pertandingan telah dilangsungkan membabitkan sembilan kategori. 

Kejohanan tersebut merupakan penganjuran kali kedua dengan penglibatan chef dari Thailand, Indonesia, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan India. 

Dalam pada itu, Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Abdul Hadi Alias, beliau berhasrat untuk menghantar lebih ramai kakitangan hotel tersebut ke pelbagai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.


Tag: