KUALA TERENGGANU, 26 Ogos-Tradisi memasak bubur Asyura yang semakin dilupakan dalam kalangan orang muda terus disemarakkan oleh Primula Beach Hotel meskipun dalam suasana normal baharu.
Majlis yang bermula jam 8 pagi itu melibatkan 20 warga kerja dengan menggunakan resipi istimewa chef hotel yang menggabungkan bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan dan rempah ratus terbaik.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata sebanyak tiga kawah Bubur Asyura disediakan secara bergotong-royong dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel.
"Pengagihan Bubur Asyura ini kepada mereka yang memerlukan, juga bagi mengingatkan kita semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara masih tidak sihat namun tiada alasan untuk kita untuk tidak membuat kebaikan.
"Aktiviti sedemikian juga akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikan sambil beramal," ujarnya ketika ditemui selepas program mengacau Bubur Asyura di Anjung Primula, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Primula Beach Hotel Dato' Mustafa Ali.
Tambah Suaibah, walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka, menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya.
Pada masa yang sama katanya, aktiviti tersebut juga memberi pendedahan kepada golongan muda tentang cara menyediakan makanan tradisi itu.