• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Hotel Primula Sedia Stesen Cas Kenderaan EV

KUALA TERENGGANU, 2 November – Pengguna kenderaan elektrik dari Pantai Barat ke Terengganu, kini boleh mengecaj kenderaan mereka di Electric Vehicle (EV) Charging Station Di Primula Beach Hotel antara tiga lokasi yang terdapat di Pantai Timur.

Presiden Kelab Pemilik Kenderaan EV Malaysia (MyEVOC), Dato’ Shahrol Halmi berkata pembukaan stesen mengecas itu bukan sahaja tepat pada masanya malah langkah yang tepat oleh pihak hotel.

Katanya,kewujudan stesen mengecas ini harus diterima dengan baik oleh orang ramai malah, lebih ramai orang dapat pilihan untuk memiliki kereta hibrid pada masa akan datang

“Jika dahulu pengguna kenderaan elektrik  mengalami kesukaran untuk datang ke Pantai Timur kerana tidak mempunyai stesen mengecas kini boleh berbuat demikian sama ada di Hotel Primula, Hotel Tanjung Vista atau Awana Kijal di Kemaman di Terengganu yang merupakan satu-satunya negeri di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Ia juga membantu bakal pengguna kereta berubah kepada kereta EV di masa hadapan,”katanya ketika ditemui selepas pelancaran EV Charging Stesen di Hotel Primula di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc)merangkap Ahli Lembaga Pengarah Hotel Primula, Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun.

Tambahnya, sehingga kini terdapat 500 Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik dan 15 stesen kelajuan pengecasan terpantas di Pantai Barat termasuk Lembah Kelang.

Stesen pengecas yang ditaja oleh MyEvoc dengan kos pemasangan RM3,000 mempunyai kapasiti 7.4 kilowatt menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya itu boleh digunakan oleh pengguna kenderaan elektrik yang menginap di hotel berkenaan atau dari luar.

Sementara itu, Suaibah berkata kemudahan itu diperkenalkan selaras hasrat kerajaan memulihara alam sekitar dan mengamalkan konsep mesra alam.

“Selain memberi kemudahan kepada pemilik kenderaan elektrik mengecas kereta mereka, saya berharap ia dapat memberi nilai tambah kepada hotel ini dalam menjana pendapatan syarikat.

“Pembukaan stesen pengecasan ini diharap mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekaligus dapat merangsang ekonomi sektor pelancongan negeri selepas beralih ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN),”ujar beliau.