• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

HSNZ Perlukan 1,500 Pain Darah Sebulan


KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 pain darah sebulan bagi menampung keperluan pesakit di seluruh hospital negeri ini.

Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, bekalan darah itu bagi menggantikan darah mangsa kemalangan jalan raya, pesakit yang sedang menjalani pembedahan serta pesakit kronik yang memerlukan darah dari Tabung Darah HSNZ.

Termasuk juga katanya,  keperluan darah yang sentiasa diperlukan oleh kira-kira 200 pesakit talasemia di negeri ini yang bergantung kepada pendermaan darah di mana pesakit-pesakit ini melakukan transfusi darah pada setiap bulan.

Katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, kempen derma darah dianjurkan selain terus memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menderma.

Syabas kepada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) Terengganu yang menganjurkan kempen menderma darah terutamanya di waktu sekarang ini di mana bekalan darah di Tabung HSNZ agak menurun walaupun masih belum kritikal disebabkan musim cuti sekolah dan tengkujuh.

“Dengan adanya program-program sebegini, ianya diharap akan dapat meningkatkan kembali bekalan darah di HSNZ ke tahap yang selamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Menderma Darah Maksak Terengganu yang disempurnakan Naib Yang Dipertua I Maksak Terengganu, Dato’ Nik Nazaruddin Mohd Zawawi di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.


Katanya, beliau mengharapkan anggota masyarakat untuk bersama-sama membantu menderma darah dan menaikkan kembali bekalan darah di negeri Terengganu.

“Dalam program derma darah yang setiap tahun dianjurkan Maksak Terengganu sebelum ini, purata 150 hingga 200 lebih pain darah berjaya dikumpulkan yang mana merupakan antara program mendapat sambutan oleh penderma darah.

“Justeru, saya menyeru kepada masyarakat di luar sana agar datang untuk menyertai kami samada di tabung-tabung darah di seluruh negeri Terengganu ataupun di program-program derma darah yang boleh dilihat di Facebook kami iaitu ‘Derma Darah Terengganu Kite’ yang memaparkan program-program derma darah diadakan di seluruh Terengganu,’ ujarnya.

Katanya, statistik penggunaan darah adalah sebanyak 50 pain sehari di mana Tabung HSNZ memerlukan 50 orang daripada rakyat Terengganu untuk menderma darah setiap hari demi menampung keperluan pengunaan darah di negeri ini.


“Kebiasaannya, bekalan darah akan menurun pada bulan puasa dan hari raya kerana majoriti penduduk Terengganu beragama Islam dan keduanya pada hujung tahun kerana masing-masing sibuk membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh dan musim cuti sekolah,” ujarnya.

Tag: