• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'HT Anniversary Ride' Tarik Lebih 600 Peserta

HULU TERENGGANU, 26 Ogos – Program berbasikal 'Hulu Terengganu Anniversary Ride 2023' yang melibatkan laluan sejauh 42 kilometer berjaya menarik lebih 600 penyertaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata program itu diadakan bertujuan bagi menarik penglibatan lebih ramai para 'rider' sama ada di dalam mahupun luar negeri.

Katanya, program ini anjuran Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) bersempena dengan sambutan Ulang Tahun MDHT yang ke 41 tahun bersama Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

“Berkonsepkan kayuhan santai, program yang pertama kali dianjurkan sempena Ulang Tahun 41 tahun ini bukannya satu perlumbaan sebaliknya aktiviti riadah yang menyihatkan bagi semua peringkat usia.

“Kayuhan hari ini memberikan satu pengalaman kayuhan basikal yang kita kira jarak jauh bagi menguji ketahanan serta stamina di samping menghirup suasana segar kampung yang berlatarkan pemandangan keindahan alam semula jadi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menyempurnakan perasmian program 'HT Anniversary Ride 2023' bertempat di Dataran Kuala Berang di sini hari ini.

Turut bersama menyempurnakan majlis perasmian, Yang Dipertua MDHT, Tuan lukema meri salleh@abd latif.

Hadir sama, Ahli Dewan Dewan Undangan (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh, Timbalan Setiasaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, kayuhan hari ini juga adalah untuk mempromosikan Kenyir Geopark yang baru diiktiraf di peringkat kebangsaan pada 30 Mei 2023 yang lalu.

Tambahnya, laluan kayuhan merupakan sebahagian daripada kawasan Kenyir Geopark. 

“Kalau kita tengok pada Kenyir Geopark ini, banyak aspek yang kita boleh lihat, kita ada geotapak yang melibatkan warisan.

“Sebelum kita sampai penamat tadi, kita melalui kawasan bersejarah iaitu Kampung Buluh yang merupakan penemuan batu bersurat dan juga makam Tok Gajah di Kamung Pasir Nering yang merupakan antara geotapak di bawah Kenyir Geopark.

“Saya berharap program seumpama ini diteruskan lagi bagi menggalakkan aktiviti riadah melalui berbasikal yang mana dapat mengurangkan pembebasan karbon dioksida.

“Sekali gus menjadikan kawasan Bandar Kuala Berang ini sebagai Bandar rendah karbon selaras dengan dasar Negara dan juga usaha MDHT untuk menjadikan bandar Kuala Berang sebagai bandar sihat dan komuniti sejahtera.

“Program ini juga merupakan salah satu daripada pelaksanaan program di bawah sustainable Development Goal yang kita duk sebut-sebut SDG.

“Iaitu untuk memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur dan menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi merancakkan lagi kemeriahan program hari ini, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai cabutan bertuah yang menarik seperti yang kita dapat lihat di pentas utama iaitu dua buah motosikal.

 

 

 


Tag: