• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

‘Hubungan Menteri Dan Exco Macam Ayah Dan Anak’- Dr Azman

KUALA NERUS, 14 September- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim memberitahu, hubungannya dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu seperti hubungan seorang bapa dan anak.

Katanya, beliau akan memaklumkan terus kepada Mohamad jika ada pengarah dan ketua jabatan melarang pembabitan EXCO pada program dianjurkan kementerian itu.

Sebelum ini katanya, terdapat arahan tidak bertulis melarang pembabitan EXCO pada program anjuran kementerian berkenaan.

“Memang ada arahan tidak bertulis. Apa yang sebenarnya saya buat itu adalah letak umpan, saya sebenarnya hendak membebaskan pengarah dan ketua jabatan di Terengganu daripada arahan-arahan yang tidak sah yang melarang penglibatan Exco negeri dalam program-program mereka.

“Tapi arahan ini kalau diminta bukti tidak ada, sebenarnya arahan itu ada, jadi sebenarnya saya hendak pancing menteri supaya mengeluarkan satu kenyataan hitam putih bahawa tidak ada larangan.

“Jadi, alhamdulliah umpan pancing kita mengena dan kelmarin menteri sudah keluarkan kenyataan, dan saya pun sudah maklumkan kepada pengarah dan ketua jabatan tidak ada sebarang kerisauan lagi, lepas ini buat macam biasa, siapa sekat lapor terus kepada menteri,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan peringkat Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di Dewan Masyarakat Tok Jiring, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamad yang menafikan mengeluarkan larangan pembabitan EXCO pertanian diterajui pembangkang dalam sebarang program anjuran kementerian itu.

Jelas beliau, tidak ada sebarang isu yang timbul diantara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sehingga ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya motif daripada kenyataan media kementerian itu.

“Saya sudah jelaskan isu ini dan dalam masa terdekat kita akan pergi ke kementerian berjumpa dengan pihak yang masih rasa terbuku dengan isu ini supaya masing-masing berlapang dada dan kita sama-sama dapat bekerja demi untuk memajukan sektor ‘food sekurity’,” ujarnya.