• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hubungan Negeri, Pusat Diperkukuh Demi Pembangunan Seimbang

KUALA NERUS, 16 April – Hubungan proaktif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu diperkukuhkan demi mewajarkan hasrat pembangunan wilayah yang seimbang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata hubungan kedua-dua ini telah terpahat dalam perlembagaan Persekutuan menerusi konsep muafakat kuasa Kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, hubungan proaktif itu perlu diteruskan dalam mewujudkan pelbagai kerjasama demi kepentingan rakyat.

“Kunjungan Perdana Menteri pada hari ini jelas memberi gambaran kesungguhan semangat antara negeri dan Persekutuan.

“Di samping, hubungan akrab antara Pusat dan negeri memberi gambaran bahawa suatu kerjasama mesti berlaku yang memerlukan libat urus.

“Pertemuan, perbincangan dan perkongsian maklumat mesti dilakukan atas semangat saling percaya mempercayai antara satu sama lain,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani petang semalam yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Majlis yang dirasmikan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Dr Samsuri, teladan profesional kepimpinan negeri dan Persekutuan atas konsep 'federalisme' akan memberi pengharapan kepada seluruh rakyat.

“Pemimpin tempat rakyat mengadu nasib, dan pemimpin jua lah yang bertanggungjawab memimpin rakyat untuk masa depan yang lebih baik," ujarnya.

 


Tag: