• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Hujan Berterusan, Fenomena Air Pasang Pada Jumaat

KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melanjutkan amaran hujan berterusan peringkat kuning di seluruh negeri Terengganu yang dijangka berlarutan sehingga esok diikuti fenomena air pasang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, Perairan pantai Terengganu juga dijangka akan mengalami fenomena air pasang besar bermula malam ini.

“Berdasarkan ramalan, paras air laut akan meningkat sehingga 3.7 meter dengan waktu kemuncak pada 5 (Ahad 10.30 malam) hingga 6 Disember (Isnin 11.30 malam).

“Ini akan meningkatkan lagi risiko banjir pada musim tengkujuh.

“Diharapkan mereka yang menetap di kawasan tepi pantai dari Besut sehingga Kemaman agar berwaspada potensi dibadai angin dan ombak besar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut menyeru seluruh warga negeri agar mengadakan Solat Tahajud dan Solat Hajat agar tidak berlaku banjir besar dan ribut semasa mengharungi waktu genting tersebut. 

Terdahulu, sebanyak 37 kampung di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang berterusan.