• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Hujan Lebat Antara November Hingga Disember Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Terengganu dijangka akan melalui episod hujan lebat antara bulan November hingga Disember tahun ini dalam musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, setakat ini, negara masih lagi dalam fasa peralihan monsun manakala musim seterusnya dijangka berakhir pada bulan Mac tahun hadapan.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Orang awam yang tinggal di kawasan berisiko perlulah mengasingkan dan menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil jika berlakunya banjir,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!, baru-baru ini.

Jelasnya dalam tempoh Monsun Timur Laut kali ini, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November tahun ini hingga Januari depan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada melalui kawasan banjir atas faktor-faktor keselamatan.

“Sekiranya berada di luar semasa berlakunya banjir, orang awam perlu mengelakkan dari melalui kawasan banjir kerana arus yang deras yang boleh menghanyutkan anda. Oleh itu, pergilah ke tempat yang tinggi serta selamat.

“Perkara yang paling utama ialah orang awam perlu mengikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan,” jelasnya lagi.