Hulu Dungun Banjir, Tiga PPS Dibuka.

DUNGUN, 27 November - Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Dungun, dilanda banjir.

Antara kawasan yang telah dinaiki air adalah, Kampung (kg) Pasir Raja, Kg Shukor, Kg Minda, Kg Talong, Kg Jongok Batu dan Kg Rantau Panjang.

Keadaan terkini tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor, iaitu di PPS Dewan Seberguna yang menempatkan 21 kekuarga manakala PPS Rumah Keluarga 17 keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan bahawa pihaknya segera turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir.

"Insya-Allah Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan segera diberikan kepada semua yang memerlukan.

"Keadaan banjir yang melanda ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kerana trend air semakin menaik," katanya.

Ghazali turut menyeru orang ramai untuk berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir cepat surut. 

Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.

“Semoga semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya.


Tag: