Hulu Dungun Siap Siaga Hadapi Banjir Besar

Oleh: Amiruddin Zamri/ Afiq Fahmi 

DUNGUN, 31 Oktober - Kawasan Hulu Dungun bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir akhir bulan ini berikutan ramalan awal taburan hujan lebat luar biasa bermula akhir Oktober hingga Disember. 

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sebagai persediaan, pihaknya telah menjemput Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengendalikan segala latihan dan tunjuk ajar secara profesional memandangkan apabila berlaku banjir wujud situasi yang kelam kabut disebabkan kekangan terutamanya kekurangan tenaga terlatih untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. 

"Program ini akan memberi peluang seluas-luasnya kepada anak-anak muda yang menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Bukan Kerajaan (NGO) Jabatan Amal Malaysia (JAM) untuk turut sama terlibat dengan panduan yang sewajarnya dalam operasi kemanusiaan ini. 

"Semangat yang dimiliki oleh mereka perlu dipuji kerana sifat ikhlas mereka untuk meringankan beban agensi-agensi penyelamat ketika musim banjir melanda kelak," ujarnya. 

Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Latihan Pengukuhan Penyelamatan Menggunakan Bot dan Penyelamatan di Air peringkat Daerah Dungun di Tasik Puteri, Bandar Bukit Besi, di sini semalam. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Terengganu, Md Hilman Abdul Rashid dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa. 

Sehubungan itu, Ghazali berkata, program tersebut sebagai langkah persediaan  menghadapi banjir terutamanya di DUN Bukit Besi yang kebiasaannya kebanyakan kawasan akan terlibat. 

“Di peringkat DUN, pemasangan radio amatur sudah siap dipasang di lapan lokasi di Pasir Raja, Shukur, Jongok Batu, Kuala Jengal, Minda, Talong, Rantau Panjang dan Tepus. 

“Semakan pengkalan hadapan oleh pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dijalankan bagi memastikan barangan kelengkapan seperti khemah dan stok bekalan makanan untuk ditambah dari semasa ke semasa bagi menghadapi persediaan banjir," jelasnya lagi.


Tag: