• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hulu Terengganu FA Juara Piala Menteri Besar

KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Hulu Terengganu FA berjaya muncul juara Piala Menteri Besar Terengganu setelah menewaskan Marang FA 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kemenangan pasukan itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 pada aksi akhir tersebut.

"Tahniah Hulu Terengganu FA yang telah merangkul juara serta syabas juga buat pasukan Marang FA yang memberi saingan sengit.

"Tidak lupa juga buat semua pemain yang telah menyertai Liga Darul Iman ini dan berjaya memenuhi syarat penganjur untuk menampilkan imej patuh syariah dengan pemakaian menutup aurat sepanjang liga berlangsung,” jelasnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan di laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.

Kemenangan Hulu Terengganu FA pada malam ini merupakan sejarah buat pasukan itu setelah hampir 20 tahun Pasukan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu tidak pernah mendakap Piala Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif namun Hulu Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke 38 menerusi pemain nombor 18, Muhammad Firas yang memanfaatkan hantaran cantik rakan sepasukannya.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan dengan beberapa percubaan dilakukan.

Memasuki masa tambahan, Marang FA berjaya menggamatkan sorakan lebih 2,000 penyokong di Stadium dengan gol penyamaan 1-1 menerusi pemain nombor 9.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan masih buntu dalam mencari jaringan selepas 120 minit berakhir sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

 


Tag: