• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ibu Enam Anak Bersyukur Terima Bantuan Basikal

DUNGUN, 15 Oktober -  Seorang ibu yang mempunyai enam orang anak melahirkan kesyukuran setelah mendapat sumbangan sebuah basikal daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.

Syarifah Maria Syed Zainordin, 33, dari Kampung Gong Pasir berkata, dia pernah menyatakan hasrat itu kepada Alias ketika kunjungan wakil rakyat itu bersama 'mobile team' ke rumahnya tempoh hari bagi memudahkannya berulang alik ke tempat kerja.

"Sebelum ini saya terpaksa bergantung kepada anak yang sulung untuk menghantar saya ke tempat kerja dengan menaiki motosikal kerana saya tidak mahir menunggang motosikal, jadi dengan adanya basikal ini dapatlah saya berulang alik ke tempat kerja tanpa menyusahkan anak," ujarnya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Maria menanggung kesemua anaknya yang berumur 15 hingga lima tahun dengan bekerja sebagai pembantu di kedai membuat kuih berhampiran tempat tinggalnya.

Katanya, selain itu dia yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) turut menerima tempahan popia dan menampal 'stiker'. 

"Tempahan popia bergantung kalau ada tempahan, begitu juga tampal 'stiker' dan kerja buat kuih, ada kerja, adalah duit," katanya yang tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya. 


Tag: