• 18 Sept 2020 | 30 Muharam 1442

Ibu Bapa Penentu Kejayaan Anak


KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Sokongan moral dan peranan ibu bapa mampu memberi impak yang besar kepada anak-anak dalam mencapai kejayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, agenda pembangunan modal insan tidak akan terbantut di peringkat tertentu sahaja.

Malah katanya, ia akan berterusan sehingga ke liang lahad.

"Proses paling membantu kejayaan anak-anak adalah melalui peranan ibu bapa masing-masing. Selain faktor guru, ibu bapa memiliki peranan besar dalam memberikan motivasi dan harapan buat anak-anak.

"Oleh kerana harapan ibu bapa juga besar, saya menyeru kepada semua anak-anak yang bakal melanjutkan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi supaya sentiasa gigih menuntut ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dari kalangan anak-anak penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Dewan Permata Permai Hotel, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Tuan Haji Ariffin Abdullah dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Tuan Haji Hamid Yahya. Selain itu, semua pengetua-pengetua Sekolah Menengah dan Sekolah Menengah Agama dalam kawasan dun Tepoh turut sama memeriahkan majlis.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain ilmu, antara agenda penting yang mesti dipelajari adalah adab, kerana mendidik adab itu lebih sukar berbanding mencari ilmu.

Tambahnya lagi, di peringkat kerajaan negeri, Yayasan Terengganu turut memainkan peranan dalam memberikan Bantuan Persediaan ke pusat pengajian tinggi.

Selain itu, sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga turut disalurkan atas tujuan yang sama.

"Semoga semua anak-anak Terengganu yang berjaya ke menara gading akan dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin dan terus berjaya," jelasnya.


Tag: