• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ibu Bapa Perlu Beri Kebenaran Anak Ambil Vaksin

DUNGUN, 26 September - Ibu bapa dinasihatkan agar membenarkan anak-anak mereka yang akan mula menjalani sesi persekolahan secara bersemuka untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata ia adalah penting bagi memastikan pelajar berkenaan dapat mengikuti semula pembelajaran dengan selamat.

"Saya menerima laporan bahawa terdapat beberapa pelajar menolak untuk divaksin kerana tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapanya. Saya amat mengesyorkan para pelajar ini dapat belajar secara terus bersemuka dengan guru.

"Barulah ilmu itu akan lebih jelas difahami. Saya mengharapkan agar semua pihak terutamanya ibu bapa kepada pelajar ini memberikan kerjasama, demi kebaikan anak-anak pelajar ini," ujarnya melalui suatu kenyataan di media sosialnya, semalam.

Terdahulu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sedang meneliti dan menilai langkah yang sesuai untuk pelajar sekolah yang enggan atau tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima vaksin berkenaan sepertimana guru yang enggan menerima suntikan tersebut.

Menurut Timbalan Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada 18 September yang lalu dilaporkan Berita Harian sebagai berkata pihak sekolah akan berusaha memujuk ibu bapa agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan keadaan selamat.

Pengerusi Pasukan Bertindak imunisasi Covid-19 itu juga berkata, proses vaksinasi akan dilaksanakan di premis masing-masing bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar manakala sekolah yang mempunyai pelajar kurang daripada jumlah tersebut akan disatukan bersama empat atau lima sekolah lain.

 


Tag: