Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 12 Jun – Masyarakat pada hari ini perlu meningkatkan kemahiran keibubapaan masing-masing melalui proses pembelajaran dan memperluaskan kemahiran diri dalam pelbagai bidang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, mereka hendaklah sentiasa memperuntukkan sedikit masa dalam mana-mana program yang dianjurkan pihak kerajaan atau swasta untuk menambah nilai ilmu pengetahuan agar menjadi benteng diri dalam dunia serba mencabar ini.
"Antara fokus penganjuran program hari ini adalah menyebarkan pendidikan mengenai pembangunan keluarga agar masyarakat dapat menambah pengetahuan berkaitan kemahiran keibubapaan, persediaan perkahwinan dan pemantapan keluarga serta pembangunan remaja.
"Usaha ini secara tidak langsung akan menggalakkan masyarakat mengamalkan sikap dan amalan positif dalam menguruskan hidup berkeluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Tijarah Masjid Kristal pada slot Bicara Wanita ‘Permata Hati’ di Masjid Kristal, Pulau Wan Man, semalam.
Turut hadir sama ialah Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din.
Menurut Zuraida, Kerajaan Negeri dengan kerjasama USWa dan Taman Tamadun Islam (TTI) akan bersama-sama menyemarakkan usaha bagi menyediakan kuliah yang berfokuskan kepada golongan wanita.
Tambahnya, jumlah kaum hawa yang bekerjaya pada hari ini dan mempunyai lebih dari satu karier bagi menambahkan pendapatan keluarga semakin meningkat.
“Realitinya, desakan memenuhi keperluan keluarga tidak akan pernah berpenghujung.
"Seorang wanita itu berupaya menjadi sebaik-baik perhiasan atau seburuk-buruk fitnah. Justeru peliharalah diri dengan benteng iman dan amal soleh.
“Semoga pertemuan pada hari ini membawa berkat dan bekal dalam menempuh kehidupan,” katanya.