Berita :
Ibu Enam Anak Temui Ketenangan Selepas Sebulan Berhijrah Ke Terengganu
Ibu Enam Anak Temui Ketenangan Selepas Sebulan Berhijrah Ke Terengganu
Husaif Mamat
3 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kisah seorang ibu bersama enam anaknya yang berhijrah ke Terengganu menarik perhatian ramai apabila perkongsiannya menggambarkan sisi kehidupan yang lebih tenang, tersusun dan dekat dengan nilai kekeluargaan.

Atie Baharain berkata, keputusan berpindah ke negeri itu dibuat dalam keadaan mendesak selepas berdepan tekanan kewangan dan suasana hidup di bandar sebuah negeri yang semakin mencabar.

Menurutnya, penghijrahan itu bukan keputusan mudah kerana perlu meninggalkan keluarga, rakan-rakan serta pelanggan yang selama ini menyokong perniagaannya dari rumah.

“Keputusan perlu segera saya buat demi kelangsungan hidup kami.

“Berat hati, tetapi aku cuba hitung nikmat Allah beri dengan hijrah ini,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Atie berkata, selepas sebulan menetap di Terengganu, dia mula merasai perubahan besar dalam rutin harian keluarganya.

Katanya, kehidupan yang sebelum ini banyak dihabiskan dengan kesesakan jalan raya, pusat beli-belah, tol, RFID dan Touch ‘n Go kini bertukar kepada suasana lebih perlahan dan menenangkan.

“Dulu 'healing' ke 'shopping mall', sekarang ke pantai.

“Dulu lambat sedikit keluar rumah terkejar-kejar dengan trafik, sekarang sekolah, pasar borong, Pasar Payang dan pantai tidak lebih 15 hingga 20 minit,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Atie turut menyentuh perbezaan kos hidup yang dirasainya jauh lebih ringan berbanding tempat tinggal lama.

Menurutnya, masih terdapat makanan harian yang dijual pada harga rendah seperti tiga keping pisang goreng RM1, enam biji cekodok pisang RM1 dan lima biji mek molek RM3.

Malah, rumah sewa yang didiaminya kini juga lebih luas dengan kadar lebih rendah.

“Di sana teres setingkat RM1,100, tetapi rumah sewa aku sekarang dua tingkat RM850 siap ada laman kiri kanan untuk berkebun,” katanya.

Lebih bermakna, Atie berkata, penghijrahan itu memberinya semula nikmat masa bersama anak-anak.

Katanya, keenam-enam anaknya kini sudah mula bersekolah dan dapat dihantar mengaji, sesuatu yang sebelum ini sukar dilakukan kerana kekangan masa.

“Subuh sempat berjemaah dengan tenang, kemudian keluar hantar ke sekolah.

“Pukul 6.40 pagi keluar, paling lewat 6.50 pagi sudah selesai hantar anak ke sekolah rendah dan menengah. Pukul 7 pagi sudah sampai semula di rumah,” katanya.

Atie turut berkongsi suasana kehidupan di Terengganu yang menurutnya dekat dengan masjid dan rutin ibadah.

Katanya, azan kedengaran setiap waktu dari rumah, manakala kuliah dhuha pula dapat didengar sambil memasak di dapur.

Beliau turut melihat budaya setempat yang memberi ruang kepada ibadah sebagai sesuatu yang sangat bernilai.

“Waktu solat Jumaat, semua kedai makan tutup. Waktu Maghrib pula kebanyakan kafe atau kedai akan tutup dari jam 7 hingga 8 malam untuk solat.

“Dulu sujud kelam-kabut, kali ini sujud lebih lama sedikit daripada biasa,” katanya.

Walaupun penghijrahan itu berat, Atie berkata, restu ibunya menjadi kekuatan untuk memulakan hidup baharu di Terengganu.

“Pergilah, mak reda kamu pindah jauh ke Terengganu. Jangan risau mak di sini sebab mak ada empat orang anak lagi di sini,” katanya berkongsi pesanan ibunya.

Perkongsian Atie turut menerima reaksi positif daripada warga Terengganu yang mengalu-alukan kehadirannya bersama anak-anak.

Menurutnya, selepas sebulan berada di negeri itu, dia masih menyesuaikan diri dengan makanan, bahasa dan suasana baharu, namun semakin merasai banyak nikmat yang hadir daripada penghijrahan tersebut.

“Jauh dari tempat selamat saya, tetapi dekat dengan sekeliling yang sentiasa ingatkan saya kepada Allah.

“Tenang itu mahal,” katanya.

Gambar - Janaan Ai


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan