Berita :
EPIC Jom Bersih 2026 Kumpul 1.3 Tan Sampah Di Pantai Air Tawar
EPIC Jom Bersih 2026 Kumpul 1.3 Tan Sampah Di Pantai Air Tawar
Noraini Jusoh
11 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad hari ini menganjurkan program EPIC Jom Bersih 2026 di Pantai Air Tawar, Besut sebagai usaha memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen dan DUN-DUN di Besut, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta NGO Geng Plastik Ija (GPI) itu melibatkan seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang.

Program berimpak komuniti itu turut menyaksikan penglibatan barisan pemimpin masyarakat, termasuk Ahli Parlimen Besut, Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh; ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman; ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.

Mereka turut turun padang bersama para sukarelawan sejak awal pagi bagi menjayakan aktiviti pembersihan pantai berkenaan.

Melalui aktiviti pembersihan tersebut, para peserta berjaya mengutip kira-kira 1.3 tan sampah dan sisa buangan, termasuk 375 kilogram botol plastik yang dihanyutkan ombak serta ditinggalkan di kawasan pantai.

Keadaan itu secara tidak langsung menggambarkan keperluan mendesak untuk memperluaskan usaha pendidikan dan kesedaran awam berkaitan tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar secara bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, program EPIC Jom Bersih 2026 bukan sekadar aktiviti gotong-royong semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyatukan pelbagai pihak dalam memainkan peranan aktif memelihara khazanah alam negara.

“Usaha seperti ini mencerminkan komitmen berterusan EPIC Berhad dalam mendukung prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, di mana aspek penjagaan alam sekitar, pembangunan sosial serta tadbir urus yang bertanggungjawab sentiasa menjadi antara fokus utama syarikat.

“Sebagai syarikat yang beroperasi dalam industri tenaga, kami percaya tanggungjawab yang dipikul tidak terhenti kepada aspek operasi dan prestasi perniagaan sahaja, malah turut merangkumi usaha memastikan keseimbangan antara pembangunan industri, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Che Mohamad Zulkifly dalam ucapannya menyifatkan pemilihan Pantai Air Tawar sebagai lokasi program amat bertepatan memandangkan kawasan tersebut merupakan antara destinasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

“Kita semua sedia maklum akan kebanjiran pengunjung serta pelancong, khususnya apabila tiba musim percutian. Rata-rata mereka ingin mencari tempat yang bersih dan selesa untuk beristirahat serta meluangkan masa bersama keluarga.

“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang kurang peka dan meninggalkan sisa buangan selepas menikmati keindahan pantai. Perkara dan sikap sebegini perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Program itu turut menjadi manifestasi kerjasama erat antara syarikat berkaitan kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi, NGO, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat dalam memastikan kawasan pelancongan terus terpelihara, bersih serta selesa untuk dikunjungi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan