DUNGUN, 7 Mei – Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan bekerjasama bagi memajukan Tasik Kenyir khususnya dalam sektor pelancongan, pemuliharaan alam sekitar dan penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pertemuan bersama Pengerusi KETENGAH, Dato' Rozi Mamat menjadi langkah awal untuk mengukuhkan kerjasama demi memastikan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha menjaga kawasan Santuari Kelah, mengatasi masalah kehilangan ikan kelah, isu air keruh serta penemuan pukat haram di Tasik Kenyir.
“Kita juga mahu memastikan aset semula jadi seperti pokok menuak dan pulau-pulau di Tasik Kenyir terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya selepas mengadakan pertemuan rasmi bersama pihak KETENGAH bertempat di Pejabat KETENGAH, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun kelmarin.

Razali berkata pembangunan produk ekopelancongan berkualiti turut diberi perhatian termasuk cadangan Dome sebagai tarikan baharu di Tasik Kenyir.
Katanya lagi, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha menarik penganjuran acara antarabangsa, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pelancong serta memperluaskan promosi digital ke peringkat global.
“Kerajaan Negeri juga mahu masyarakat setempat mendapat manfaat melalui peluang ekonomi dan peningkatan pendapatan hasil perkembangan sektor pelancongan di Tasik Kenyir.
“Semua pembangunan akan dilaksanakan secara seimbang dengan menjaga kelestarian alam sekitar supaya keunikan Tasik Kenyir terus terpelihara,” ujarnya.

Tag :