• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Ibu Tunggal Mualaf Bersyukur Masyarakat Prihatin


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN- Seorang ibu tunggal mualaf, Madinah Dabe Martin, 35, yang mempunyai dua anak istimewa berterima kasih dengan keprihatinan masyarakat setempat kerana sentiasa membantu meringankan bebannya.

Wanita berasal dari Sabah tinggal di Taman Rakyat Jaya, bersama empat anak termasuk dua daripadanya orang kelainan upaya (OKU) 'hyper active'.

"Saya berpindah ke sini dari Sabah bulan enam tahun lepas," katanya ketika ditemui  di rumahnya sempena kunjungan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berkenaan, hari ini.

Dia yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu mengikut bekas suaminya yang berasal dari Dungun menetap di situ sebelum bercerai pada Oktober lalu.

Madinah tidak mempunyai pendapatan kerana menjaga dua orang anak kurang upaya yang berusia enam dan tujuh tahun.

"Untuk kegunaan (belanja) hari-hari, Alhamdulillah ada orang-orang bagi, tetapi sewa bulanan rumah, tak taulah macam mana.

"Saya mau tinggal tetap di sini, orang - orang sini baik-baik," katanya yang menganut Kristian sebelum memeluk Islam.

Di dalam kunjungan tersebut, MPKK juga membantu beliau mengisi borang e-kasih memandangkan ibu muda tersebut tidak dapat keluar rumah menjaga anak yang 'hyper active' selain sedikit sumbangan untuk meringankan beban.

Tag: