• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ibu Tunggal Sebak Terima Skrol Arwah Anak

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Suasana Majlis Konvokesyen Ke-4 dan Pelancaran Jubli Perak Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu semalam, sayu buat Norlee Mohamad Nor, ibu kepada Muhammad Alif Haiqal Azrul, 22, yang meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan pada  20 Februari lalu

Ditemui selepas isitiadat berkenaan, Norlee, 42, berkata hanya tuhan sahaja yang tahu perasaannya sebagai ibu ketika nama anak diumumkan untuk menerima Sijil Tamat Latihan Kursus Automotif.

"Saya hadir ke konvokesyen ini bagi menunaikan hasrat Along (Alif Haiqal) yang beria-ria saya datang," luah ibu tunggal itu.

Kata Norlee, Along selalu berpesan agar menemaninya pada detik yang bersejarah tersebut bagi meraikan kejayaan menamatkan kursus automotif yang menjadi minat serta pilihannya sejak kecil.

Di sebalik kesedihan itu Norlee masih mampu mengikur senyuman dan berbangga dengan pencapaian Alif Haiqal.

Katanya, selepas pemergian suaminya lima tahun lalu, Allahyarham yang menjadi tulang belakang keluarga.

"Sebagai ibunya sudah tentu saya gembira dan bangga dengan anak saya, seperti ibu bapa yang lain sudah tentu seronok jika berjaya meraikan kejayaan ini bersama anak-anak namun hari ini saya datang tanpa ada dia di sisi saya, saya tidak dapat menahan kesedihan sedangkan dia yang beria-ria hendak saya hadir.

"Sejak kematian abahnya lima tahun yang lalu, sebagai anak sulung dia memainkan peranan mengantikan tempat sebagai ketua keluarga, malah saya terharu dia membantu untuk menampung keperluan keluarga dengan berkerja di bengkel bapa saudaranya dengan membuat kerja-kerja kimpalan.

"Minatnya terhadap kemahiran memang tinggi, arwah maklumkan pada saya sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia hendak meneruskan pengajiaannya untuk merubah nasib keluarga dan menyara adik-adiknya yang masih bersekolah, saya yang temankan dia pada hari pendaftaran ke institusi ini," ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, arwah sangat suka berkongsi apa jua yang dipelajari sepanjang kursus yang dijalani .

"Apabila pulang ke rumah dia akan tunjukkan gambar yang diambilnya kepada saya, maknanya dia sangat gembira dapat berkongsi dengan saya apa jua kemahiran yang dipelajari antara sebab dia memilih belajar di sini kerana yakin dan percaya ada jaminan dalam dunia pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, Tenaga Pengajar kursus yang disertai oleh Aliff Haiqal, Ahmad Zawawi Ahmad Zaki berkata, ketiadaan Allahyarham pada hari tersebut merupakan suatu kehilangan yang besar.

"Termasuk rakan-rakan sepengajiannya, sebelum majlis ini berlangsung dia yang berusaha ajak rakan-rakan dia yang satu 'batch' dengan dia untuk hadir, dia dan rakan-rakan seramai 24 orang merupakan graduan pertama dalam Sijil Automotif.

"Boleh dikatakan semua rakan-rakan termasuk saya sendiri sangat terasa kehilangannya pada hari ini. Arwah dahulu seorang yang agak ceria, dan suka bergurau dengan rakan-rakannya, boleh dikatakan dia menjadi ketua atau kepala kepada kawan-kawannya yang lain," tambah beliau.


Tag: