• 26 Nov 2020 | 10 Rabiul Akhir 1442

KEMAMAN, 19 Oktober - Seorang ibu tunggal tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan sebuah peti sejuk beku daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menjadi kenyataan. 

Fauziah Mamat, 52, berterima kasih kepada Hanafiah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang memberi sumbangan tersebut kepadanya.

"Saya ada meminta sumbangan ini kepada isteri beliau (Hanafiah) yang datang menziarahi saya, baru-baru ini. 

"Saya tidak menyangka ia menjadi kenyataan dan sumbangan tersebut diterima dalam masa yang begitu cepat," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima peti sejuk itu di rumahnya di Kampung Gong Limau hari ini.

Ibu kepada enam orang anak itu menghadapi dugaan yang sukar selepas suaminya meninggal dunia lima bulan lalu akibat penyakit buah pinggang dan jantung. 

Fauziah menjalankan perniagaan menjual makanan sejuk beku seperti roti canai, karipap dan sebagainya.

"Alhamdulillah, sumbangan ini dapat membantu saya dalam mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan ini," ujarnya.

Sumbangan peti sejuk beku tersebut disampaikan sendiri oleh Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.


Tag: