Iftar di Sawah Padi Diteruskan, Pukau Perhatian Ramai

BESUT, 13 Mac - Suasana berbuka puasa dikelilingi kehijauan sawah padi terus menjadi daya tarikan di daerah ini apabila mencipta memori terindah kepada mereka yang hadir  di Majlis Iftar Perdana yang diadakan petang kemarin di Kampung Padang Baloh.

Majlis yang diadakan itu telah diadakan selama tiga tahun berturut-turut menjelangnya Ramadan telah dihadiri lebih 600 penduduk kampung Padang Baloh serta mereka yang berada di sekitarnya rata-ratanya merupakan golongan petani dengan lebih 100 hidangan disediakan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya sangat bersyukur kerana acara itu dapat diteruskan serta telah dijadikan acara tradisi sekali gus majlis itu dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat serta menghidupkan semangat kebersamaan.

 

"Majlis seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama, tetapi juga menjadi wadah mempekukuh ukhwah dalam komuniti.

"Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada penduduk di kampung lain untuk mengadakan program yang menggalakkan perpaduan seumpama ini,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir ke majis ini semalam.
 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA)TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir turut berkongsi rasa bangga dengan sambutan luar biasa yang diterima.

"Sebagai petani, kami sangat terharu melihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap majlis ini.

"Sawah padi bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga menjadi tempat yang menyatukan kami semua antara petani dan masyarakat akan terus erat,"ujarnya.

Dalam pada itu ,Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menyakannya majlis itu.

"Kita berharap agar tradisi tahunan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,"ujarnya.