• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ihya Ramadan : Lebih RM900 Ribu Disalurkan Ke Masjid dan Surau Terpilih

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri memperuntukan RM944,200 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Pejabat Agama Daerah bagi melaksanakan program Ihya Ramadan di masjid dan surau di seluruh Terengganu bagi tahun ini.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai insentif dan suntikan semangat dalam melaksanakan program Ihya Ramadan kepada semua masjid dan surau-surau terpilih.

"Saya berharap agar semua Jawatankuasa Masjid dan surau dapat memanfaatkan peruntukan yang akan disalurkan ini untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengimarahan sepanjang bulan ramadhan pada tahun ini.

"Rancanglah pelbagai program yang dapat menarik semua lapisan masyarakat untuk turut sama hadir ke rumah Allah untuk memakmurkannya dibulan Ramadan ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Ihya Ramadan Peringkat Negeri Terengganu 1444H / 2023M di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin

Sementara itu, sebanyak RM1,014 juta juga telah diperuntukan bagi Duit Bantuan Pengurusan Jawatankuasa Masjid bagi seluruh masjid di negeri Terengganu.

Katanya, program Ihya Ramadan pada kali ini diharapkan mencapai objektif yang lebih baik meliputi pelbagai program yang dirangka di seluruh daerah.

“Jadi setiap komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ataupun surau dan masjid mengadakan program yang boleh dilaksanakan.

“”Terserah kepada jawatankuasauntuk merangka aktiviti yang sesuai dengan kapasiti masing-masing, Cuma kita berharap penyertaan dari masyarakat menjadikan Ihya Ramadan pada kali ini lebih baik dari tahun lepas,”ujar beliau.