• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Ijtima’ Siber Himpun Pengamal Media Baru


KUALA TERENGGANU, 27 Januari- Kerajaan negeri menerusi Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri bakal menganjurkan Program Ijtima’ Siber 2019 bagi mengumpulkan pengamal media baru seluruh Malaysia untuk mendedahkan kepentingan dalam melaporkan berita yang benar berlandaskan fakta dan sumber sahih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, dua ahli panel akan dijemput menyampaikan kertas kerja pada ijtima’ tersebut yang akan diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada 16 Februari ini.

“Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Supyan Hussin akan membentangkan tajuk ‘Fungsi Media Baru Melestari Kesedaran dan Kebangkitan Rakyat Malaysia’ manakala Pendakwah dan Motivator yang juga Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Darul Ulum, Negeri Sembilan, Ustazah Asma’ Harun pula akan menyampaikan tajuk ‘Tanggungjawab Menangani Kekeliruan Maklumat dan Menangkis Fitnah di Media Baru,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Program Ijtima’ Siber 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Menurut Mohd Nor, program yang akan dikelolakan oleh UPDI dengan kerjasama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu itu menyasarkan seramai 3,000 peserta dengan membuka penyertaan untuk pengamal media baru seluruh negara.

Katanya, antara tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk memberikan kesedaran asas kepada seluruh pengamal media baru supaya mereka menggunakan saluran media baru berasaskan agama Allah SWT dan tidak melanggar syariatNya.

“Kita juga mengharapkan dengan ijtima’ sebegini, pengamal media akan menggunakan media baru mereka sebagai platform ke arah menyampaikan agama dan kebenaran berita yang tepat kepada seluruh rakyat termasuk netizen dan peminat-peminat media baru,” ujarnya.

Katanya, beliau turut mengharapkan kerajaan negeri akan menjadi pencetus dan penggerak utama bagi menyatukan pengamal media ke arah kesatuan Islam serta  kemurnian syariat Allah SWT dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada seluruh ummah.

Tag: