KUALA NERUS, 3 April – Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam menyatukan hati umat Islam dan memperkukuh keimanan dan ukhuwah dalam menghadapi cabaran semasa.
Pendakwah Bebas Brunei, YM Dr. Dyg Hajah Ummi Fa’izah Haji Abd Rahman berkata, program tersebut bukan sekadar pertemuan fizikal, sebaliknya menjadi medan penyuburan iman, pengukuhan persaudaraan dan pencetus perubahan ke arah diri yang lebih baik.
Menurutnya, penganjuran program berskala besar itu membuktikan kesungguhan dan kesepakatan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus memastikan kelancarannya.
“Program ini sangat relevan dalam keadaan umat Islam hari ini yang sedang diuji dari segi iman dan ukhuwah.
"Walaupun terdapat pelbagai latar belakang dan perbezaan pandangan, kita perlu mencari titik persamaan untuk menyatukan hati,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026, perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Ummi Fa’izah menegaskan bahawa kekuatan umat Islam terletak pada akidah dan keimanan kepada Allah SWT, yang menjadi asas utama dalam membina perpaduan sejati.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan syariah di Brunei yang disifatkan sebagai usaha memelihara kemaslahatan ummah, selaras dengan tuntutan maqasid syariah.
"Alhamdulillah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan memang sangat-sangat menyokong pelaksanaan hukum syariah.
“Pelaksanaan hukum syariah bertujuan menjaga nyawa, akal, keturunan dan maruah, bukan untuk menakutkan, tetapi untuk melindungi masyarakat daripada kezaliman dan kerosakan,” jelasnya.
Tambah Ummi Fa’izah, umat Islam perlu melihat pelaksanaan syariah dalam konteks yang lebih luas, dengan keyakinan bahawa panduan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW akan membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sehubungan itu, beliau berharap program seperti Ijtimak Perpaduan Ummah dapat terus menjadi platform penyatuan dan memperkukuh kesedaran umat Islam untuk kembali kepada ajaran yang sebenar.
Tag :