Ikan Mati, Penternak Kerugian RM10,000
DUNGUN, 15 Februari-Seorang penternak ikan sungai di Kampung Delong kerugian hampir RM10,000 akibat fenomena perubahan aliran sungai yang berlaku.
Nozlin Mohammad, 42 berkata, jumlah itu hanya mengambil kira kos yang dikeluarkan untuk makanan ikan yang diternaknya bermula Julai tahun lepas.
"Pagi ni saja sebanyak 220 ekor ikan patin mati, ada yang beratnya 700 gram, 600 gram dan yang paling banyak beratnya 400 gram seekor.
"Pagi kelmarin tilapia 120 ekor mati dan purata berat ikan dalam tiga atau empat ekor sekilogram, " jelasnya.
Nozlin memberitahu demikian ketika ditemui semasa kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun untuk mengetahui lebih lanjut kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Delong, Abu Bakar Mohamed.
Beliau yang mula berkecimpung dalam bidang ternakan ikan dalam sangkar secara suka - suka tiga tahun lalu memberitahu kejadian yang serupa pernah berlaku tahun lepas.
"Ianya berlaku masa musim hujan, air sungai banyak, aliran air laju... mulanya ikan-ikan ini akan timbul dan badan ikan ada bintik-bintik merah, mulutnya ada kudis sikit dan akhirnya badannya beransur - ansur bertukar menjadi hitam" jelasnya.
Sehubungan itu, Alias yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa penternak itu berharap dia segera mengemukakan permohonan bantuan kepada Tabung Bencana Pertanian yang disediakan oleh kerajaan Negeri Terengganu.
"Tabung yang disediakan untuk petani, penternak dan nelayan yang mengalami keadaan seperti ini... boleh buat laporan beserta gambar kepada pejabat pertanian, veterinar dan perikanan dan pegawai akan membuat siasatan serta penilaian,” katanya yang turut menghulurkan sumbangan sebagai meringankan beban Nozlin.