• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Impian 69 Penduduk Milik Tanah Sendiri Tercapai

KUALA NERUS, 2 Julai - Penantian 69 penduduk daerah ini untuk memiliki tanah sendiri yang dipohon sejak lebih 20 tahun lalu berakhir apabila masing-masing menerima surat hak milik tanah itu hari ini.

Rata-rata penerima teruja dengan berita gembira tersebut serta bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri menyerahkan surat hak milik dinantikan-nantikan sejak sekian lama.

Seorang penerima, Meriam Yusof, 75, berkata, dia memohon tanah di kawasan Kampung Baroh Tok Jiring pada tahun 1999 ketika berusia 54 tahun bersama penduduk lain untuk diusahakan sebagai tempat penanaman padi.

"Hari ini, saya cukup gembira dan bersyukur kerana penantian untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai walaupun sedikit terkilan kerana arwah suami, Mohamad Abdullah tidak dapat melihatnya.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya selepas surat hak milik yang tertera nama sendiri sudah berada di tangan.

"Lebih bermakna, ia diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, alhamdulillah terima kasih banyak-banyak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Peserta Tanah Rancangan Berkelompok Baroh Tok Jiring, disini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengarah Tanah Dan Galian,Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim

Seramai 69 penduduk daripada 102 pemohon menerima surat hak milik tanah masing-masing pada majlis yang disempurnakan Ahmad Samsuri.

Perasaan sama turut dikongsi warga emas, Kelsom@Semek Ismail,74, yang turut melahirkan rasa syukur kerana masih berkesempatan menikmati saat penuh bermakna dalam hidupnya itu apabila turut menerima surat hak milik tanah.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha untuk mengembalikan hak kami,” ujarnya.