• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Impian Belajar Luar Negara Tercapai

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Impian pelajar Terengganu untuk mengikuti pengajian ke luar negara tercapai dengan bantuan Yayasan Terengganu melalui kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

Fatimah Zahra Zainuddin, 19, melahirkan rasa syukur kerana dipilih oleh Yayasan Terengganu untuk menyambung pengajian ke Algeria.

“Impian saya sejak kecil lagi untuk sambung pengajian ke luar negara kerana ingin merasai sendiri pengalaman yang berharga di samping dapat melihat budaya negara luar.

“Terima kasih tidak terhingga buat ibubapa yang sentiasa menyokong serta mendoakan setiap perjalanan hidup saya sehingga sekarang,” jelasnya.

Dia berkata demikian selepas menghadiri Program Pelepasan Pelajar Terengganu ke Algeria sesi 2022 bertempat di Ruang Pelepasan Aras Dua, Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam.

Sementara itu, Wan Muhammad Amirul Asyraff Wan manaf, 19, berkata pelbagai persiapan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan melalui kursus bahasa dan sebagainya sebelum kami berangkat ke Algeria.

Dia berkata pemilihan dibuat dengan penuh teliti oleh pihak pengurusan sebelum dipilih menyertai pengajian ke luar negara ini.

“Pengalaman dapat menyambung pengajian ke Algeria ini merupakan satu sejarah paling bermakna dalam hidup dan akan saya balas jasa ibubapa dan kerajaan Terengganu dengan sebuah kejayaan,” katanya.

Seramai 10 orang pelajar Terengganu yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua perempuan terpilih untuk menyambung pengajian ke Algeria dengan tajaan Yayasan Terengganu.

 


Tag: