• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Impian Generasi Felda Selasih Tertunai

SETIU, 13 Jun – Impian anak felda untuk memiliki kediaman sendiri tercapai apabila seramai 124 orang generasi baru Felda Selasih, Jabi hari ini menyempurnakan undian lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi menentukan lot tapak rumah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kelulusan RTB Felda Selasih merupakan satu kejayaan bagi keluarga peneroka setelah penantian puluhan tahun.

“Hari ini menjadi satu catatan sejarah buat warga Felda Selasih dalam usaha kita menyelesaikan isu tapak rumah bagi generasi kedua Felda setelah melalui satu proses yang agak sukar dengan Akta GSA (Kawasan Penempatan Tanah) sehingga mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri. 

“Selepas daripada proses undi lot ini, kita akan agihkan Jadual 5A dalam masa dua minggu insya-Allah sebelum pemilik boleh membuat bayaran premium tanah,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Undian Lot RTB Felda Selasih Generasi Ke-2 di Perkarangan Tapak RTB Felda Selasih di sini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, penyelesaian RTB tersebut mampu menampung masalah kekurangan pelajar sekolah di DUN tersebut.

“Kita menyedari bahawa isu perumahan menjadi salah satu isu besar sehingga banyak sekolah rendah dalam DUN Jabi yang mengalami masalah kekurangan murid.

“Sekolah (SK) Felda Selasih contohnya Cuma tinggal 100 murid walaupun kapasiti sekolah mampu menampung 600 murid disebabkan oleh generasi kedua Felda yang terpaksa berhijrah keluar atas beberapa faktor dan faktor yang paling utama ialah ketiadaan rumah kediaman,” ujarnya.

Kerajaan negeri turut menyatakan komitmen bagi menyelesaikan isu pembahagian RTB generasi ke-2 Felda di seluruh Terengganu.

 


Tag: