• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Imtiaz Kuala Terengganu Sekolah Tanpa Tunai Pertama

KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu bakal menjadi sekolah imtiaz pertama di negeri ini memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai di sekolah dalam masa terdekat.

Pengetuanya, Md Imran Md Nor berkata, dalam melaksanakan program tersebut, pihak sekolah mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat dengan menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang menerima kad debit sebagai kaedah pembayaran.

Katanya, objektif program itu secara khususnya adalah untuk menggalakkan penggunaan kad MyDebit dalam kalangan pelajar, guru serta ibu bapa sebagai kaedah dalam urusan transaksi pembayaran seperti di kantin atau koperasi sekolah berbanding penggunaan tunai.

“Alternatif ini diharapkan dapat menjadikan setiap transaksi pembayaran seperti membeli makanan, alat tulis atau buku menjadi lebih cepat dan efisien.

“Kaedah ini juga memudahkan ibu bapa memindahkan duit kepada anak-anak memandangkan terdapat juga pelajar luar dari Terengganu di sekolah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sekolah Tanpa Tunai dan Pelancongan Koperasi Sekolah, Pameran SEM (Inovasi) dan Penyerahan IPAD 2022 di Dewan As-Syatibi, Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong.

Md Imran berkata, bagi mengelakkan penyalahgunaan kad tersebut, hanya RM10 dihadkan untuk dibelanjakan oleh pelajar pada setiap hari.