• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Melalui slogan 'Indahnya Hidup Bersyariat' memberikan penjelasan mengenai usaha untuk memacu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera secara konsisten.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memberikan pendedahkan kepada seluruh rakyat mengenai betapa pentingnya melaksanakan syariat Islam.

"Kalau kita hendak maju, hendak ada keberkatan, hendakkan kesejahteraan mestilah melaksanakan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi kita (Muhammad) SAW.

"Maka di situlah kita hendak memberikan gambaran kepada rakyat bahawa segala yang dilakukan dalam kehidupan daripada kita makan dan minum, tidur, di pejabat, ketika di rumah, berada di pasar, bermain semuanya ada kaitan dengan syariah.

"Kita akan menyedari betapa indahnya syariah Islam ini yang memberikan kebaikan kepada kita (rakyat) dan menolak (menghindari) keburukan berlaku ke atas diri kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui video pendek yang dimuat turun di facebook rasminya, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata dua unit tubuh berada di bawah portfolionya iaitu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah membincangkan kerangka umum mengenai program yang akan dijalankan pada tahun ini selari dengan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' .

"Antara yang menariknya ialah sempena dengan israk dan mikraj kita akan buat program kesedaran tentang isu al-Quds melalui minggu al-Quds, Madinah Ramadan.

"Kemudian kita akan teruskan program yang telah diadakan pada tahun lepas iaitu Terengganu International Summit yang akan membincangkan topik tertentu.

"Kemudian program-program rutin yang lain seperti 'Badar Qubra', Nuzul Quran, hari Wukuf Arafah, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan lain-lain lagi di samping itu (mengekalkan program sedia ada) kita juga akan mengenegahkan beberapa pembaharuan daripada penggal yang lepas untuk kita kita ketengahkan kepada rakyat," jelasnya.