Berita :
100 Hari Pentadbiran : Pembangunan Tersusun Jadi Fokus Setiausaha Kerajaan Negeri
100 Hari Pentadbiran : Pembangunan Tersusun Jadi Fokus Setiausaha Kerajaan Negeri
Adli Mohamad
7 jam yang lepas
95

KUALA TERENGGANU, 20 April – Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, memberi penekanan agar pembangunan negeri dilaksanakan secara tersusun, berimpak tinggi serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), jumlah peruntukan yang telah diluluskan untuk Negeri Terengganu ialah sebanyak RM1.84 bilion, melibatkan 398 projek pembangunan.

“Walau bagaimanapun, laporan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), merekodkan bahawa sehingga 16 Mac 2026, hanya RM0.29 bilion atau 15.70 peratus sahaja berjaya dibelanjakan dalam tahun semasa.

“Perkara ini menunjukkan masih terdapat kekangan yang perlu ditangani segera, khususnya melibatkan isu teknikal antara agensi yang masih belum diselaraskan secara berkesan.

“Selain itu, terdapat juga pertindihan pelaksanaan projek antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam skop yang sama, sekali gus menyebabkan ketidakcekapan, pembaziran sumber serta mengurangkan impak kepada rakyat.

“Justeru, setiap projek perlu saling melengkapi, bukan bertindih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 100 Hari Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Terengganu Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan budaya kerja secara silo tidak boleh lagi diteruskan, sebaliknya semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan pentadbiran negeri yang saling menyokong, mempercayai dan melengkapi antara satu sama lain.

“Saya amat berharap agar kerjasama antara agensi di peringkat negeri dan Persekutuan dapat diperkukuhkan dengan semangat kekitaan.

“Kerana dalam sebuah keluarga, kejayaan satu pihak ialah kejayaan bersama, manakala kegagalan satu pihak pula akan memberi kesan kepada semua,” ujarnya.

Beliau berkata, semua jabatan dan agensi perlu bersedia dari sekarang dengan menyediakan kertas cadangan projek RMK yang jelas, tersusun, berimpak tinggi serta berteraskan rakyat.

“Penekanan juga perlu diberikan kepada pelaksanaan projek kos rendah dan projek siap cepat yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Kita tidak mahu projek yang telah diluluskan akhirnya gagal dilaksanakan. Setiap ringgit adalah amanah dan mesti diterjemahkan kepada hasil yang nyata untuk rakyat,” tegas beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan