SETIU, 5 Oktober – Sebanyak 15 unit sarang burung pungguk jelapang akan dipasang di Kampung Jelapang di sini bagi membantu pekebun kecil mengawal populasi tikus di kawasan tanaman kelapa sawit melalui projek Barn Owl for Smallholder Initiative (BOSI) 2.0.
Projek yang dilaksanakan TDM Plantation Sdn Bhd itu menggunakan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi semula jadi. Lokasi pemasangan sarang ditentukan berdasarkan penilaian lapangan bagi menyokong penghunian burung berkenaan dan meningkatkan keberkesanan kawalan.
Inisiatif anak syarikat TDM Berhad itu dilaksanakan dengan kerjasama Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) serta komuniti pekebun kecil.

“BOSI 2.0 menyediakan ruang untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan dalam situasi sebenar di lapangan.
“Melalui kerjasama dengan USM, MPOGCF dan komuniti setempat, TDM Plantation menyokong penerapan kaedah kawalan biologi yang dapat membantu pekebun kecil mengurus ancaman tikus dengan pendekatan yang lebih mesra alam,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Ladang-Ladang Trengganu, Kamaruzaman Abdullah.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof Madya Dr Amir Hamzah Ahmad Ghazali; Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail; serta Pengerusi JPKK Kampung Jelapang, Abdul Raof Mohamed.

Program itu menggunakan pendekatan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management atau IPM) yang menggabungkan elemen ekologi dan sains bagi menangani serangan tikus secara lebih bersepadu.
