Jalur Gemilang
Berita :
19 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Di Flat Seri Kolam
19 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Di Flat Seri Kolam
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
125

KUALA TERENGGANU, 21 September - Seramai 19 warga asing ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi penguatkuasaan di Flat Seri Kolam, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dato' Lokman Effendi Ramli berkata, operasi yang diketuai JIM Kuala Terengganu itu turut membabitkan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, seramai 133 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum 19 daripadanya didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen.

"Pada malam ini, seramai 133 warga asing telah pun diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan, kita dapati 19 telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen yang melibatkan antaranya ialah melibatkan tinggal lebih masa dan ada juga yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di dalam Negara Malaysia.

"Dan ada juga yang menyalahgunakan pas ataupun permit yang diberikan di atas tujuan selain daripada yang terkandung di dalam permit tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan.

Tegas beliau, operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) akan terus dilaksanakan di seluruh negara tanpa dikurangkan.

"Dan suka saya ingatkan di sini operasi ini akan diteruskan. Kita tidak akan berhenti dan kita tidak akan kurangkan operasi ini, kita akan laksanakan sepanjang tahun, setiap masa," katanya.

Ulas Lokman Effendi, sehingga 17 September lalu, JIM telah melaksanakan lebih 9,700 operasi di seluruh negara dengan lebih 130,000 warga asing diperiksa.

"Daripada jumlah ini sebanyak lebih daripada 57,000 pendatang asing tanpa izin telah pun ditangkap di bawah pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan majikan dan pemilik premis supaya tidak melindungi, menggaji atau menyewakan premis kepada PATI kerana mereka turut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen.

Sehingga 17 September lalu, jelasnya, seramai 1,720 majikan atau pemilik premis telah didakwa di seluruh negara atas kesalahan berkaitan akta imigresen.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan