Jalur Gemilang
Berita :
200 Ekar Kelapa Gadong Sari Bakal Dibangunkan Di Hulu Besut
200 Ekar Kelapa Gadong Sari Bakal Dibangunkan Di Hulu Besut
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
140

KUALA TERENGGANU, 19 November – Hulu Besut berpotensi menjadi kawasan tumpuan pembangunan pertanian bernilai tinggi menerusi cadangan projek penanaman Kelapa Gadong Sari seluas 200 ekar di Kampung Padang Buluh, Pasir Akar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Forest House Sdn. Bhd. dan kini dalam proses pertimbangan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited merangka pelbagai inisiatif strategik bagi membangunkan sektor pertanian dan perniagaan tani di kawasan Hulu Besut, termasuk membuka peluang kepada pelabur untuk membangunkan tanah kerajaan.

“Kerajaan Negeri kini dalam proses mempertimbangkan permohonan daripada Forest House Sdn. Bhd. untuk melaksanakan penanaman Kelapa Gadong Sari seluas 200 ekar di Kampung Padang Buluh, Pasir Akar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (Belanjawan), semalam.

Menurutnya, penglibatan pelabur dalam projek penanaman berskala besar penting bagi mempercepatkan pembangunan sektor pertanian selain membantu menjamin bekalan makanan yang berterusan.

Katanya, usaha memperkukuh pertanian Hulu Besut turut melibatkan pembangunan sektor penternakan apabila Padang Ragut Segading seluas 79.25 hektar telah dipajakkan kepada pelabur bagi pelaksanaan projek Broiler dan Grandparent Stock Farm ayam kampung.

Dalam sektor tanaman pula, Hulu Besut terus diberi perhatian sebagai kawasan pengeluaran Durian Kampung Premium, termasuk pembinaan sebuah Pusat Pengumpulan Hasil pada 2024 menerusi peruntukan RM1 juta.

“Daripada peruntukan pembangunan buah-buahan bermusim sebanyak RM760,000 yang diterima daerah Besut sepanjang RMK-12, sebanyak RM400,000 atau 60 peratus telah dimanfaatkan petani di DUN Hulu Besut bagi meningkatkan produktiviti,” ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan