lightning-solid
Berita :
25 Tahun Sos Laris Hajah Hasmah Cekal Pertahan Legasi Arwah Suami
25 Tahun Sos Laris Hajah Hasmah Cekal Pertahan Legasi Arwah Suami
Ariss Alias
4 jam yang lepas
60

SETIU, 13 Ogos - Bermula secara kecil-kecilan dari rumah pada 2001, Sos Laris kini memasuki usia 25 tahun dengan produknya menembusi pasaran hingga ke Kuala Lumpur dan Perak. 

Pengarah Urusan H.H Laris Enterprise, Hajah Hasmah Hassan, berkata perniagaan yang pada awalnya hanya menggunakan sebuah periuk itu berkembang secara berperingkat sebelum mempunyai kilang di Kampung Langkap, di sini. 

“Pada awalnya kami bermula dari rumah secara kecil-kecilan, masak menggunakan periuk dan tanpa sebarang bantuan. Dari situ perniagaan berkembang sedikit demi sedikit,” katanya sebagaimana yang dilaporkan Bernama. 

Menurut beliau, perkembangan Sos Laris turut dapat dilihat menerusi pertambahan saiz kilang dan peningkatan jualan, namun perniagaan berdepan penurunan permintaan selepas pandemik COVID-19 dan kini berada dalam fasa bertahan. 


Hajah Hasmah berkata beliau memilih untuk meneruskan perniagaan itu selepas pemergian arwah suami kerana jenama Sos Laris telah dikenali ramai dan mempunyai pelanggan tersendiri.

“Saya mahu teruskan kerana jenama ini sudah dikenali ramai,” katanya.

Kini, Jenama Laris mempunyai 11 produk antaranya sos cili, sos tomato, pencicah bara dan kicap manis, dengan sos pencicah keropok Laba menjadi antara produk paling mendapat sambutan, manakala sos pencicah Bara merupakan antara produk paling lama berada di pasaran.

Hajah Hasmah berkata pihaknya masih mengekalkan resipi asal serta memberi perhatian terhadap kualiti dan kuantiti bahan bagi memastikan rasa produk kekal konsisten.

“Pelanggan memberi maklum balas bahawa rasanya sedap dan berbeza,” katanya. 

Sos Laris kini mempunyai lima pekerja dan terus dipasarkan sehingga Kuala Lumpur dan Perak, manakala usaha mengekalkan kualiti produk menjadi antara keutamaan bagi memastikan jenama berkenaan terus relevan dalam pasaran.

Atas sumbangannya dalam bidang keusahawanan, Hajah Hasmah menerima Anugerah Tokoh Usahawan sempena Hari Syaidatina Aisyah Peringkat Daerah Besut dan Setiu pada 2020. 

Beliau berkata meskipun anak-anaknya belum terlibat secara langsung dalam perniagaan, beliau berharap legasi Sos Laris yang dibina selama 25 tahun itu dapat diteruskan dan dikembangkan pada masa akan datang.


Tag :

Artikel Berkaitan